Wow Keroncong Selangor 2021 berjaya hibur penonton - Utusan Malaysia
- Oleh Media Mulia
- 6 November 2021, 12:30 pm
KUALA LUMPUR: Program Wow Keroncong Selangor 2021 yang berlangsung di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor, baru-baru ini berjaya menghiburkan 300 tetamu jemputan yang hadir.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini menampilkan barisan artis popular iaitu Herman Tino, Raftah Bachik, Jamilah Abu Bakar, Haziq Rosebi dan ramai lagi.
Malah, program itu turut dirakam dan disiarkan melalui platform digital Facebook Page JKKN TV.
Dalam konsert tersebut, Herman dan Raftah bijak berkomunikasi dengan tetamu kenamaan dan penonton sehingga berjaya menghidupkan suasana dalam studio.
Herman dalam pada masa sama turut memuji usaha yang dijalankan oleh JKKN Selangor dengan penganjuran persembahan keroncong yang semakin terpinggir dari kalangan generasi baharu.
Persembahan yang diiringi oleh Ayom Keroncong ini menampilkan Herman dengan lagu Yale-Yale dan Derma Bukan Tontonan, Raftah (Kemayuran dan Nona Manis), Jamilah (Jampi) dan Haziq (Fly Me To The Moon).
Wow Keroncong Selangor 2021 dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).
Ia dirasmikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat mewakili menterinya Datuk Nancy Shukri dan turut hadir, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop dan Pengarah JKKN Negeri Selangor, Mohamad Raizuli Mat Jusoh.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/11/wow-keroncong-selangor-2021-berjaya-hibur-penonton/